Solat adalah ibadah yang difardukan
Allah SWT kepada setiap Muslim dalam waktu tertentu. Ini bermaksud solat tidak
sah dan tidak diterima jika dilakukan di luar waktunya. Ini sesuai dengan
firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 103:
“Sesungguhnya solat itu
adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu
waktunya”.
Jelas daripada ayat di
atas kewajipan solat adalah dalam waktu tertentu. Jika diteliti lebih dalam
lagi semua solat sama ada solat fardu atau solat sunat mempunyai waktu
tertentu. Tidak ada persoalan solat pada awal waktu dan memang digalakkan untuk
solat pada awal waktu tetapi persoalannya bagaimana solat pada akhir waktu.
Apakah diterima dan diberi pahala?
Setiap waktu solat
mempunyai waktu mula dan waktu tamat. Telah sabit kenyataan dalam beberapa
hadis yang sahih bahawa Jibril telah datang bertemu Nabi s.a.w selepas solat
lima waktu difardukan untuk memberitahu waktu-waktunya serta menetapkan waktu
bermula dan waktu akhir setiap solat. Waktu solat itu telah diterangkan oleh
Nabi s.a.w kepada umat Islam melalui perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w.
Sabda Nabi s.a.w :
Yang bermaksud, daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA, daripada Nabi s.a.w, Baginda
telah ditemui oleh seorang yang bertanya tentang waktu-waktu solat. Tetapi
Baginda tidak menjawabnya. Manakala dalam riwayat yang lain pula Baginda
bersabda, “Bersolatlah bersama-sama kami”.
Lalu baginda
menunaikan solat Subuh ketika fajar terbit sedangkan penglihatan orang ramai
masih belum dapat mengenali antara satu sama lain. Kemudian Baginda menyuruhnya
lagi bersolat Zuhur ketika matahari gelincir. Ada yang berkata, ketika itu
waktu tengah hari sedangkan Baginda lebih mengetahuinya daripada mereka.
Seterusnya Baginda
menyuruh mereka bersama-sama Baginda menunaikan solat Asar ketika matahari
masih tinggi. Kemudian disuruhnya lagi, lalu Baginda menunaikan solat Maghrib
yang pada ketika itu matahari telah terbenam. Kemudian Baginda menyuruhnya
lagi, maka ditunaikan pula solat Isyak ketika syafak hilang daripada
penglihatan.
Pada keesokan harinya,
Baginda telah melewatkan solat Subuh sehingga ada yang mengatakan selepas solat
tersebut, matahari telah terbit atau hampir terbit. Kemudian Baginda melewatkan
solat Zuhur hingga hampir ke waktu Asar sebagaimana semalam. Kemudian Baginda
melewatkan solat Asar sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, warna
matahari kemerah-merahan.
Seterusnya Baginda
melewatkan pula solat Maghrib, hingga syafak hampir tidak kelihatan lagi.
Kemudian Baginda melewatkan solat Isyak sehingga lewat tengah malam. Apabila
menjelang pagi, Baginda memanggil orang tersebut lalu bersabda, “Waktu solat ialah di antara dua masa ini”.
Terdapat juga beberapa
hadis yang menerangkan sebahagian perkara yang umum atau yang menambah
penerangannya sebagaimana yang dapat dilihat dalam perincian waktu-waktu setiap
solat seperti yang berikut:
Apabila Nabi s.a.w
berkata “Waktu solat ialah di antara dua masa ini” ia
menunjukkan bahawa solat di antara dua waktu itu diterima oleh Allah SWT dan
diberikan pahala. Cuma solat pada awal waktu amat digalakkan daripada solat
pada akhir waktu.
Jangan sengaja
lengahkan solat
Tidak patut seseorang
Muslim sengaja melengah-lengahkannya hingga ke akhir waktu dengan alasan
tempohnya panjang. Ini kerana perbuatan tersebut mungkin menyebabkan waktunya
terluput malah sikap cuai ini mungkin menyebabkan solat terus tertinggal.
Sebenarnya semua solat, sunat disegerakan pada awal waktunya. Ketika ditanya
tentang amalan yang afdal Nabi s.a.w bersabda:
Yang bermaksud : “Menunaikan solat pada awal waktunya.”
Seseorang yang
melakukan sebahagian solatnya dalam waktu dan sebahagian yang lainnya di luar
waktu jika dapat menyempurnakan satu rakaat dalam waktunya maka keseluruhan
solat tersebut dikira qada’.
Hal ini berdasarkan
hadis : Yang bermaksud : “daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w
bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum
matahari terbit maka dia telah dapat menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa
yang dapat melakukan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia
telah dapat menunaikan solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat
melakukan satu rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan
solat itu.”
Ancaman Orang Yang Melengahkan Solat
Allah SWT berfirman dalam Surah Maryam
Ayat 59, yang bermaksud :
"Kemudian mereka
digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut
hawa nafsu dengan melakukan maksiat maka mereka akan menghadapi azab dalam
neraka."
(Surah Maryam : Ayat
59)
Abdullah bin Abbas R.A
berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali,
tetapi melewatkan dari waktunya. Umpamanya mereka melaksanakan Solat Zuhur
dalam waktu Asar, Solat Asar di dalam waktu Maghrib, Solat Isyak ditanguhkan
sehingga masuk waktu Subuh serta Solat Subuh dilaksanakan selepas matahari
terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan
dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama ‘Al-Ghai’a di dalam neraka dan
diberikan makanan yang amat jijik.
Dalam hadis yang lain
Rasulullah SAW bersabda :
"Sesiapa yang
mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan (Uzur Menurut Syarak), maka
sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar".
(Riwayat Al-Hakim)
Nah, lihatlah
ancaman-ancaman yang telah diberi oleh Allah SWT dan RasulNYA SAW tentang azab
dan siksaan yang menanti mereka yang suka melengah-lengahkan dan
melewat-lewatkan solat dengan sengaja.
Ingin ditegaskan di
sini bahawa, jika sudah masuk waktu solat, dan kita masih lagi tidak menunaikan
solat dan melengah-lengahkannya walaupun sekejap tanpa ada sebab yang
dibenarkan, ianya juga dikira termasuk di dalam golongan mereka yang
melewat-lewatkan solat.
Oleh itu, sedarlah
wahai saudara-saudaraku sekalian. Terutamanya pada mereka-mereka yang mengaku
dirinya sebagai pejuang-pejuang dan pembela-pembela Islam, hendaklah kita
menjaga solat kita dengan sebaik-baiknya. Hendaklah solat di awal waktu dan
janganlah melengah-lengahkannya dengan sengaja kerana solat di awal waktu itu
lebih afdal dan sangat-sangat dituntut dan mendapat keredhaan daripa Allah SWT.
Firman Allah SWT di
dalam Surah Al-Mukminun yang bermaksud :
“Dan mereka yang
menjaga amanah dan janjinya, dan orang yang memelihara solatnya, mereka itulah
orang yang berhak mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”
(Surah al-Mukminun,
ayat 8-11)
Sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:
“Pada suatu hari Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat: Amalan apakah yang lebih utama? Baginda SAW menjawab: Solat tepat pada waktunya.”
(Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW
lagi yang bermaksud:
“Barang siapa bersolat
tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuknya, sujudnya dan khusyuk, maka solat
itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata:
“Semoga Allah SWT menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan
rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang bersolat tidak dalam waktunya yang
ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan
rukuk, sujudnya dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke
atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: “Semoga Allah SWT mensia-siakan
dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu
berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah SWT, iapun lalu dilipatkan
sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada
mukanya.”
(Hadis riwayat
Thabrani dan Baihaqi)
Lihatlah antara
kelebihan-kelebihan dan ganjaran-ganjaran yang menanti mereka yang menjaga dan
memelihara solatnya di awal waktu. Maka, terpulanglah pada diri kita sendiri.
Jika kebahagiaan dan keredhaan Allah yang kita cari, maka jagalah solat kita
sebaik-baiknya dengan bersolat di awal waktu. Jika tidak, bersiap sedialah
untuk menghadapi pembalasan azab dan siksaan daripada Allah SWT di akhirat
nanti.
Sumber : http://ulumnabawiahmakh.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment