SOLAT fardu yang tertinggal wajib diqada. Ulama membahagikan
qada solat kepada dua jenis. Yang pertama qada solat bagi mereka yang
tertinggal solat dengan keuzuran. Yang kedua qada solat bagi mereka yang
tertinggal tanpa keuzuran.
Para
ulama fikah dalam mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah, al-Hanafiyyah dan
al-Hanabilah sepakat mewajibkan bersegera dalam mengqada solat wajib yang
tertinggal tanpa keuzuran. Ini kerana meninggalkan solat tanpa keuzuran syarak
adalah berdosa. Maka bertaubat daripada dosa dituntut segera.
Dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang
kemurkaan Allah s.w.t. Selagi tidak qada selagi itulah dosanya dikira. Syarat
taubat daripada dosa ini ialah mengqadakan solat yang tertinggal.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan satu peristiwa yang bermaksud:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika pulang menunggang unta dari peperangan
khaibar telah merasakan mengantuk sangat, sehingga baginda bersabda: “Wahai
Bilal kita telah ditimpa malam”, maka bilal menunaikan solat beberapa rakaat
yang terdaya oleh beliau, manakala Rasulu llah s.a.w dan para sahabat terus
tidur.
Apabila hampir fajar Bilal menyandarkan badan pada
tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang pun dari
kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari.
Rasulullah s.a.w adalah yang terawal bangun lalu baginda terkejut. Lantaran
Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jualah yang
menimpa dirimu wahai Rasulullah”. Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat.
Rasulullah s.a.w berwuduk dan menyuruh Bilal iqamat lalu baginda menunaikan
solat fajar dengan mengimami para sahabat.
Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda: “Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia
menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang
bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu,
Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”
(Tahaa:14 ), (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm: 227).
Persoalannya bolehkah qada solat subuh? Sedangkan selepas
subuh adalah waktu haram mendirikan solat. Mungkin ini menjadi asas kepada
pandangan segelintir masyarakat yang menyangka tidak boleh melakukan sebarang
solat selepas waktu subuh walaupun qada solat.
Dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w daripada ‘Uqbah bin
‘Amir memberitahu yang bermaksud: Baginda
Rasulullah telah menegah kami dari menunaikan solat dan mengkebumikan jenazah
pada tiga waktu berikut: ketika terbit matahari sehingga naik tinggi, ketika
matahari berada pada ufuk dan ketika terbenamnya matahari. (riwayat Muslim,
jld:1, hlm:568, Abu Daud, jld:2, hlm:185,).
Namun, solat yang diharamkan selepas solat fajar ialah solat
sunat, adapun solat fardu tidak
ditegah dari melakukannya, ini kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi
itu waktu itu waktu solat subuh. (Nuh ‘Ali Salman, Qadha al-Ibadat, hlm:
260-261).
Para Fuqaha dari kalangan mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah
dan al-Hanabilah mengharuskan qada solat pada waktu-waktu yang ditegah dalam
hadis di atas dan waktu-waktu lain. Dr. Wahbah al-Zuhailiy menukilkan pandangan
para fuqaha dengan menyimpulkan dengan pandangan: “Harus mengqada solat fardu
yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada
melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan
bila-bila sahaja.” (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm:
144).
Justeru, dengan nas-nas daripada al-Quran serta hadis dan
pandangan ulama yang muktabar jelas kepada kita bahawa qada ini boleh dilakukan
pada bila-bila sahaja walaupun selepas subuh dan selepas asar.
Ini kerana wajib itu kekal wajib. Wajib dalam waktunya
apabila tidak ditunaikan pada waktunya wajib itu tidak berubah tuntutannya ia
tetap kekal wajib. Malahan orang yang tertinggal solat dengan alasan tertidur,
terlupa wajib bersegera mengqadanya. Selagi mana tidak diqada selagi itulah hutang
solatnya tertanggung atas bahunya.
Solat tidak boleh selesai dengan taubat sahaja. Taubat atas
perbuatan alpa atau buat-buat alpa dan terlupa. Taubat dalam erti kata menyesal
atas sikap acuh tak acuh, dan berjanji dengan Allah dan diri bahawa tidak akan
mengulangi tabiat suka leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara
solat.
sumber : http://ulumnabawiahmakh.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment